Friday 17 November 2023

PENDAPAT ULAMA TENTANG ARAK

 Menurut Abdul Latif Muda (1997), ijmak ialah persepakatan ulama’ mujtahid selepas kewafatan Rasulullah SAW dalam perkara berhubung dengan hukum syarak. Mereka mempunyai kebolehan mengeluarkan hukum daripada dalil yang terperinci dan terdiri daripada umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Ijmak ulama’ terhasil daripada ijtihad yang merupakan peranan penting dalam menetapkan sesuatu hukum dan menjadi sumber ketiga dalam perundangan syariah. Ini kerana terdapat beberapa nas dan ayat yang difahami bahawa perkara yang diikhtilafkan oleh ulama’ wajib dirujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, perkara yang disepakati oleh mereka adalah kebenaran yang diakui oleh Allah SWT serta wajib diamalkan. 

        Berhubung dengan hukum meminum arak, para ulama’ jelas telah bersepakat menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Hal ini jelas dinyatakan melalui dalil-dalil qat’ie daripada AlQuran dan As-Sunnah. Walau bagaimanapun dalam keadaan-keadaan tertentu, persepakatan ulama’ diperlukan bagi mengeluarkan hukum yang melibatkan permasalahan arak untuk dijadikan panduan kepada umat Islam. Ini kerana terdapat masalah yang membabitkan arak tidak dijelaskan secara langsung di dalam AlQuran dan As-Sunnah dan memerlukan ulama’ bersepakat mengeluarkan hukum. Antaranya contoh permasalahan yang ditimbulkan adalah seperti berikut:

1. Perbuatan meminum dan cecair yang memabukkan

        Perbuatan meminum dan cecair yang memabukkan merupakan salah satu daripada tiga rukun utama dalam jenayah minum arak selain syarat-syarat peribadi peminum dan niat melakukan jenayah. Menurut Imam Malik, As-Syafi’e dan Ahmad, kesempurnaan rukun ini boleh berlaku apabila seseorang itu meminum ‘muskir’ iaitu suatu istilah umum yang bermaksud cecair yang memabukkan tanpa terikat, sama ada dengan nama khususnya seperti khamr dan lain-lain atau dengan bahan-bahan asalnya seperti anggur, tamar, gandum, barli, tebu, epal dan lain-lain. 

        Begitu juga kesempurnaannya tidak terikat dengan kadarnya yang diminum oleh seseorang kerana jika kadarnya yang banyak boleh memabukkan peminumnya maka kadarnya yang sedikit dihukum haram sekalipun kadarnya yang sedikit itu belum lagi mampu untuk memabukkannya. Dengan itu, jika sesuatu cecair itu tidak memabukkan seseorang kecuali sesudah dia meminumnya sebanyak sepuluh gelas atau lebih, maka satu gelas yang diminumnya pada peringkat awal adalah haram sekalipun ia belum lagi memabukkannya. Kadar yang sedikit atau banyak yang telah diminum tidak diambil kira untuk menganggapnya sebagai cecair yang haram, tetapi hukuman itu diasaskan kepada kadarnya yang banyak, apabila ia memabukkan peminumnya atau tidak. Dari itu, jelas bahawa asas pengharaman itu terletak pada kadarnya yang banyak jika ia memabukkan, maka kadarnya yang sedikit dihukum haram, tetapi sebaliknya, jika kadarnya yang banyak tidak memabukkan maka kadarnya yang sedikit turut tidak dihukum sebagai cecair yang haram. 

        Pada Abu Hanifah kesempurnaan rukun ini hanya akan berlaku dengan tindakan seseorang meminum cecair yang dinamakan khamr. Kerana itu jika cecair yang diminum itu bukannya khamr maka kesempurnaannya tidak berlaku kecuali jika ia betul-betul memabukkannya. Abu Hanifah dan ulama’ mazhabnya telah mengkhususkan nama khamr itu kepada tiga jenis cecair sahaja iaitu: 

i. Air anggur yang naik membuih sama ada dimasukkan kepala susu atau tidak. 

ii. Air anggur yang dimasak apabila berkurangan kadarnya tidak melebihi dua pertiga kadar asal dan ia menjadi bahan yang memabukkan. 

iii. Air tamar dan anggur kering yang ditakung apabila ia naik membuih sama ada dimasukkan kepala susu ke dalamnya atau tidak. 

        Ulama’ Mazhab Hanafi dan Maliki mensyaratkan perbuatan minum itu berlaku menerusi anggota mulut tetapi jika khamr atau muskir itu dimasukkan ke dalam badan seseorang menerusi hidung atau dubur atau lain-lain lubang maka pembalasan had minum arak tidak harus dilaksanakan ke atas pesalah kerana terdapat shubhah tetapi ia tidak terlepas dari pembalasan takzir. 

        Ulama’ Mazhab Syafi’e mempunyai tiga pendapat, salah satunya adalah sama seperti ulama’ Mazhab Malki dan Hanbali. Dalam pendapat kedua, mereka mewajibkan pembalasan had ke atas pesalah biarpun arak itu dimasukkan ke dalam badannya tanpa menerusi mulut seperti dia menghisapnya menerusi hidung atau menyuntikkannya ke dalam badannya. Dalam pendapat yang ketiga, sekumpulan yang lain mengatakan wajib dikenakan pembalasan had jika ia mengambilnya menerusi hidungm bukannya menerusi suntikan. 

        Ulama’ Mazhab Hanbali pula mempunyai dua pendapat di dalam permasalahan ini, salah satunya mengatakan jika arak itu dimasukkan ke dalam badan seseorang dengan menerusi tekak sepertu meminumnya atau menghisapnya dengan hidung maka pesalahannya wajib dikenakan pembalasan had, tetapi jika ia memasukkannya menerusi dubur, maka dia tidak wajib dikenakan pembalasan had. Menurut pendapat yang kedua, pesalah wajib dikenakan pembalasan had dalam keadaan tersebut. 

        Untuk dihukum seseorang itu sebagai peminum arak, adalah memadai jika arak itu sudah sampai ke dalam tekaknya walaupun ia belum lagi sampai ke bahagian dalam badannya. Tetapi jika hanya sekadar dia kumurkannya sahaja di dalam mulutnya kemudian dia meludahnya keluar maka dia tidak dikira sebagai peminum arak sebenar dan tidak diwajibkan apa-apa pembalasan had ke atasnya. 

        Jika seseorang itu minum arak kerana dia bertujuan untuk menghilangkan dahaga sedangkan dia mampu mendapatkan air, maka dia akan dihukum sebagai 16 peminum yang wajib dikenakan pembalasan had minum arak. Akan tetapi, jika dia meminumnya dalam keadaan terpaksa kerana ketiadaan air sama sekali, maka dia tidak dianggap bersalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 173:

 

Maksudnya: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

        Jika seseorang itu meminumnya kerana dipaksa, sama ada paksaan itu dalam bentuk paksaan fizikal atau mental, maka dia tidaklah berdosa kerana Nabi SAW telah bersabda:


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan kesalahan umatku akibat perbuatan yang tidak disengaja, lupa dan dipaksa.” (Hadis Riwayat Ibn Majah) 

        Jika seseorang itu meminumnya kerana dahaga yang mengancam nyawanya, maka menurut pendapat Mazhab Hanafi yang selaras dengan pendapat yang terkuat dalam Mazhab Maliki dan Syafi’e, peminumnya tidak dikenakan dengan sebarang pembalasan had.

2. Arak sebagai bahan rawatan

        Menurut Abu Bakar Muhammad (2006), para ulama’ berselisih pendapat jika arak dicampurkan ke dalam makanan atau ubat-ubatan, adakah makanan dan ubat itu boleh digunakan? Ibnu Syihab mengharuskannya sementara yang lainnya mengatakan tidak boleh namun mereka tidak memberikan pandangan yang jelas dalam hal ini. Walau bagaimanapun, pendapat yang paling sahih adalah tetap tidak diharuskan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Tariq bin Suwaid Al-Ju’fi bahawa:


 






Maksudnya: “Beliau bertanyakan Rasulullah SAW tentang arak. Baginda melarangnya dan tidak suka dia membuat arak. Dia berkata: “Saya membuatnya untuk dijadikan ubat.” Sabda baginda: Ia bukannya ubat tetapi penyakit”. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim) 

        Manakala dari segi rawatan, jika seseorang itu meminum arak sebagai satu bahan rawatan, menurut pendapat yang terkuat di dalam Mazhab Maliki dan Syafi’e, maka dia wajib dikenakan pembalasan had minum arak kecuali jika dia hanya sebagai gososkan di atas kulitnya sahaja, maka dia tidak dikenakan sebarang pembalasan had sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang merawat penyakitnya dengan menggunakan arak, maka Allah tidak akan menyembuhkannya.

” Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan umatku pada perkara yang diharamkan ke atasnya.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari) 

        Mengikut Dr Mat Saad Abd Rahman (1993), Imam Abu Hanifah mengharuskan minum arak untuk tujuan rawatan sebaliknya Imam Ahmad pula mengharamkannya dan beliau berpendapat pesalah yang meminumnya kerana tujuan rawatan wajib dikenakan pembalasan had. 

No comments:

Post a Comment

PENGENALAN

  NAMA:MUHAMMAD HARITHSS BIN SHAHRIL NO MATRIK: 04DEE21F1044 NAMA:ADLI HAQIMI BIN HANIZAN NO MATRIK: 04DEE21F1026 NAMA:HAIKAL AIZAT BIN HASS...