Friday 17 November 2023

PENDAHULUAN

                                                         



        Islam melalui syariahnya telah menetapkan sesuatu perbuatan tidak berdiri sendiri sebaliknya mengandungi kesan-kesan atau natijah kepada perkara yang lain. Syariah merupakan undang-undang yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada makhluk-Nya melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Dewasa ini, manusia semakin bijak mengatur hidup dengan segala kemudahan dan kebebasan yang ada. Namun, ini tidak sesekali bermakna hukum syariah boleh diabaikan atau dipermudahkan semata-mata ingin mengikut acuan semasa. Ini kerana syariah itu sendiri telah lengkap malah meliputi segala aspek sama ada duniawi mahupun ukhrawi. 


        Walau bagaimanapun akhir-akhir ini, terdapat golongan yang mempertikaikan kerelevanan syariah Islam dalam memelihara kesejahteraan manusia pada zaman ini. Padahal, adalah amat tidak wajar bagi manusia mempertikaikan hukum syariah kerana jelas segala hukum tersebut datangnya daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang diciptakan-Nya berbanding dengan hukum dan undang-undang ciptaan manusia. Tambahan pula, undang-undang syariah diasaskan atas prinsip menghasilkan ‘maslahah’ (kebaikan) dan menolak ‘mafsadah’ (keburukan). Ia meliputi segala aspek yang berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan penciptanya, manusia dengan manusia, dan juga manusia dengan alam sekeliling. Pengharaman arak merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam hukum syariah dan Allah SWT pastinya mempunyai sebab-sebab tertentu dalam mengharamkannya demi kesejahteraan umat manusia. 


        Menurut Abdul Latif Muda (1997), jumhur ulama’ mendefinisikan arak sebagai segala bahan yang memabukkan sebab meminumnya, baik yang diproses melalui buah tamar, anggur, gandum, nira, tapai, beras atau sebagainya, baik memabukkan dengan meminumnya mahupun tidak, meminumnya sedikit apatah lagi banyak. Ini kerana arak merupakan minuman yang dikategorikan merosakkan akal sama ada dengan meminum sedikit atau banyak. Dr. Mohamad Ali Al-Bar (1993), menegaskan arak merupakan perencat sistem otak iaitu bahagian yang mula-mula terganggu apabila seseorang mula minum arak. Gejala yang mula-mula berlaku ialah 2 perubahan tingkah laku di mana dalam dos yang banyak, ia lazimnya menimbulkan perangai yang luar biasa seperti kemurungan atau keghairahan yang melampau. 


        Selain menjejaskan kesiuman akal dan kesihatan, ia juga menjadi punca kepada beberapa kerosakan harta benda dan kelahiran pelbagai jenayah dalam kehidupan masyarakat seperti zina, pembunuhan, pemerkosaan dan rompakan. Begitu tinggi risiko arak kepada kehidupan manusia sama ada dari sudut kesihatan atau harta benda. Oleh itu, Islam telah membimbing manusia ke arah satu penyelesaian yang konkrit dalam menangani masalah arak. Hukum-hukum syarak bukanlah diturunkan secara serentak dan pelaksanaannya juga adalah secara berperingkat-peringkat. Ini semua tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan sesuatu hukum itu akan sampai kepada matlamat ianya disyariatkan. Sesuatu hukum tidak akan mencapai maqasidnya sekiranya dijalankan pada masa yang tidak sesuai atau dalam keadaan umat yang masih belum dapat menerima hukum itu.

No comments:

Post a Comment

PENGENALAN

  NAMA:MUHAMMAD HARITHSS BIN SHAHRIL NO MATRIK: 04DEE21F1044 NAMA:ADLI HAQIMI BIN HANIZAN NO MATRIK: 04DEE21F1026 NAMA:HAIKAL AIZAT BIN HASS...