Friday 17 November 2023

SUMBER AL QURAN & HADIS

 i) SUMBER AL-QURAN

        Merujuk kepada sejarah pengharaman arak dalam Islam, didapati pengharamannya dilakukan secara berperingkat-peringkat sebelum ianya diharamkan sepenuhnya. Pengharaman arak secara berperingkat-peringkat bertujuan memelihara maslahat umat pada masa tersebut di mana ketika itu minuman arak telah menjadi adat dan minuman tradisi masyarakat Arab Jahiliyyah yang sukar untuk ditinggalkan secara sekaligus. Jika pengharamannya dilakukan secara drastik, kemungkinan umat Islam pada masa itu tidak dapat mentaati larangan Allah SWT dan maqasid pengharamannya tidak dapat dicapai. 

        Menurut Abdul Latif Muda (1997), arak diharamkan dalam tiga peringkat. Pada peringkat pertama, Al-Quran telah membicarakan tentang keburukan arak melebihi faedahnya. Walaupun begitu, dengan turunnya ayat yang menyatakan hal tersebut, para sahabat yang warak sudah mula meninggalkannya. Mereka banyak bertanya kepada Rasulullah SAW tentang arak dan ini disebutkan dalam firman AllahSWT:  

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 219) 

        Menurut Abu Bakar Muhammad (2006), terdapat beberapa pendapat berhubung sebab turun ayat di atas. Antaranya Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Maisarah daripada Amru bin Syurahbil daripada Umar, “Ya Allah, terangkanlah kepada kami tentang arak dengan penerangan yang lengkap.” Kemudian turunlah ayat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 219 iaitu yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya...” 

        Lalu Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat itu. Lantas dia berkata, “Ya Allah, terangkanlah kepada kami tentang arak dengan penerangan yang lengkap”. Lalu turunlah ayat dalam surah An-Nisa’, ayat 43 iaitu yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk...”

        Kemudian Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat tersebut, lantas dia berkata, “Ya Allah, terangkan kepada kami tentang arak dengan penerangan yang lengkap”. Kemudian turunlah ayat dalam surah al-Maidah ayat 90 hingga 91 iaitu yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada 4 mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

        Lalu Umar dipanggil dan dibacakan ayat itu kepadanya, lantas dia berkata, “Kami berhenti”. Al-Hasan berkata: “Arak diharamkan dengan ayat ini (Surah Al-Baqarah: ayat 219)”. Sekumpulan ulama’ mengatakan: Arak diharamkan dengan ayat 90 dan 91 dari Surah Al-Ma’idah. Paling shahih adalah pendapat yang mengatakan arak diharamkan melalui penurunan ayat 90 dan 91 pada Surah Al-Ma’idah. 

        Dalam Surah Al-A’raf, ayat 33, Allah SWT berfirman: 

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa.” 

        Oleh sebab Allah SWT menyebutkan dosa itu sebagai haram dan sifat arak itu pula dikaitkan dengan dosa, maka pastilah ayat ini mengharamkan arak. Merujuk kalimah yang bermaksud ‘dosa itu’ dalam ayat 219, Surah Al Baqarah, Abu Bakar Muhammad (2006), menyatakan terdapat dua pendapat iaitu: 

i. Dosa itu ialah perbuatan yang dilakukan setelah ia diharamkan dan manfaat pula ialah yang dilakukan sebelum diharamkan. 

ii. Dosa itu ialah apabila mereka meminumnya maka mereka menjadi mabuk, lalu mereka sanggup mencaci maki, mencederakan dan membunuh. 

        Pendapat yang paling shahih, kalimah ‘dosa itu’ boleh diertikan kepada kedua-dua pendapat tersebut. Manakala kalimah (dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia). Terdapat tiga pendapat tentang ayat ini: 

i. Manfaat itu bermaksud keuntungan daripada perniagaannya. 

ii. Keseronokan dan kelazatan.

iii. Sekumpulan ahli bidaah mengatakan: Ia mempunyai manfaat untuk tubuh badan iaitu dapat mengekalkan kesihatan atau menyembuhkan penyakit, kerana ia berperanan menguatkan perut dan saluran darah pada urat. Seterusnya ia sampai ke organ-organ dalaman yang utama, mengeringkan kelembapan serta menghadamkan makanan yang keras sekaligus melembutkannya. 

        Pendapat yang paling shahih, manfaat tersebut ialah manfaat keuntungan perniagaan. Hal ini disebabkan mereka membawa arak itu dari Syam dengan harga yang murah dan menjualnya di Tanah Hijjaz dengan keuntungan besar. Kelazatannya pula merupakan mudarat bagi orang yang berakal kerana kelazatan yang diperoleh itu tidak berpadanan dengan kreativiti dan kewarasan yang dibawa oleh arak. Hinggakan golongan hamba abdi bertaraf rendah dan mereka yang serba kekurangan pun tidak mahu meminumnya disebabkan ia menghilangkan kemuliaan akal dan menghilangkan mutu penghasilan dan deria pembezaan. 

        Jelaslah, ayat Al-Quran di atas hanya menunjukkan keburukan minum arak jika dilihat dari sudut sosial dan individu. Selain itu, ayat ini juga menjelaskan kepada manusia bahawa mudarat yang terdapat di dalam arak lebih banyak daripada manfaatnya. Dengan penjelasan ini maka sebahagian sahabat mula berhenti minum arak memandangkan ianya mengandungi dosa. Namun ketika ayat ini diturunkan, arak masih belum diharamkan. Oleh itu, masih terdapat sebahagian daripada masyarakat yang masih belum menjauhkan diri daripada arak. Golongan seperti ini telah memberi alasan bahawa mereka meminum arak hanya untuk mengambil manfaatnya sahaja kerana Al-Quran masih mengakui bahawa arak juga ada manfaatnya dan bukannya untuk melakukan dosa. 

        Pada peringkat kedua, ayat Al-Quran diturunkan menyebut tentang pengharaman meminum arak pada waktu tertentu iaitu ketika hendak melakukan ibadah solat. Hal ini kerana ada sahabat yang sembahyang dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan salah bacaannya, sebagaimana firman Allah SWT: 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan” (Surah An-Nisa: Ayat 43)

         Ayat ini diturunkan berikutan peristiwa suatu waktu dahulu ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang para sahabat termasuklah Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu telah dihidangkan dengan minuman arak dan ketika masuk waktu Maghrib, Saidina Ali r.a telah mengimamkan solat dan telah membaca surah al-Kafirun ayat 1 hingga 3 dalam keadaan mabuk, lantas tanpa sedar telah mengubah makna ayat tersebut iaitu, “Katakan wahai orang-orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami telah pun menyembah apa yang kamu sembah.” 

        Begitu juga dengan peristiwa di mana seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik telah mengadakan jamuan yang dihadiri oleh kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan yang menghidangkan arak sebagai minuman itu telah menyebabkan seorang lelaki Muhajirin iaitu Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memujimuji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.

        Pada peringkat yang ketiga, arak diharamkan sepenuhnya sebagaimana ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 dan 91:


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

        Berdasarkan kepada ayat tersebut, jelas menunjukkan kepada kita bahawa hukum meminum arak itu adalah haram. Kalimah di dalam ayat 90 surah al-Maidah adalah fi’il amar yang merupakan ayat perintah daripada Allah supaya umat Islam wajib meninggalkan arak. Oleh itu, para ulama’ bersepakan bahawa hukum meminum arak adalah haram melainkan terdapat sebab-sebab lain yang mengharuskannya. 

        Bahkan sebelum turunnya ayat ini Umar bin al-Khattab r.a, sudah mengagak bahawa arak akan diharamkan sekaligus. Oleh kerana itu beliau sentiasa berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, berilah penjelasan tentang arak dengan penjelasan yang cukup.” Andainya arak diharamkan sama sekali, mungkin sesetengah sahabat akan merasa keberatan meninggalkannya memandangkan minuman arak sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu. Dengan turunnya ayat di atas, ayat-ayat terdahulu yang menyebut tentang arak telah dimansuhkan dari segi hukumnya. Ini bermakna kesan hukum ayat terdahulu tidak boleh dipakai lagi kerana ia telah dimansuhkan oleh ayat di atas.


ii) SUMBER HADIS

        Selain ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pengharaman arak, terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menyentuh tentang hukum berkaitan pengharaman arak antaranya hadis berikut: 


Maksudnya: “Telah diceritakan kepada kami Abu al-Rabi’ al-’Ataqi dan Abu Kamil berkata, telah diceritakan kepada kami Hammad bin Zaid, telah diceritakan kepada kami Ayyub dari Nafi’ dari Ibn Umar, telah berkata Rasulullah SAW: “ Semua perkara yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram. Barang siapa yang meminum khamar di dunia, lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih meminumnya dan tidak bertaubat maka dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat kelak (di syurga)”. 

        Hadith tersebut dipetik daripada Kitab Sahih Muslim di dalam kitab minuman, berkaitan dengan bab semua perkara yang memabukkan adalah khamar dan semua khamar adalah haram. Kandungan hadis ini adalah berkaitan dengan khamar (arak) iaitu setiap perkara ataupun minuman yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah dihukumkan sebagai haram. Berdosa bagi sesiapa yang meminumnya walaupun dengan kadar yang sedikit. 

        Terdapat beberapa istilah daripada hadis tersebut yang perlu diberi penjelasan, salah satunya adalah perkataan haram. Pengertian haram menurut Dr. 9 Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya Fiqh Halal wa Haram, ialah suatu perkara yang dilarang oleh syariat melakukannya dengan larangan yang pasti iaitu tidak boleh berubah, sehingga mendedahkan sesiapa yang melanggar larangan itu kepada seksaan Allah SWT di akhirat dan ada kalanya boleh menyebabkan dia menerima seksa yang ditetapkan oleh syarak di dunia. 

        Manakala dua lagi perkataan yang penting ialah ‘shrub’ dan ‘al-khamr’. Kedua-duanya bererti minum arak. Dalam hal ini, ulama’ telah berselisih pendapat tentang maksud kedua-duanya. Menurut Imam Malik, Syafi’e dan Ahmad serta ulama kepada mazhab masing-masing, perkataan minum itu bermaksud minum cecair yang memabukkan sama ada ia dinamakan dengan khamr atau tidak, begitu juga sama ada ia berasal daripada perahan anggur atau lainnya seperti tamar, anggur kering, gandum, barli dan padi, juga sama ada ia memabukkan dengan kadar yang sedikit atau kadar yang banyak sebagaimana ditegaskan dalam sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Apa sahaja (minuman) yang kadar banyaknya memabukkan, maka kadarnya yang sedikit adalah haram.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

        Abu Hanifah dan ulama’ mazhabnya berpendapat maksud minum di sini ialah minum arak khamr semata-mata, sama ada kadar yang diminum itu sedikit atau banyak. Arak khamr menurut mereka adalah nama khusus untuk tiga jenis cecair sahaja iaitu: 

i. Air anggur yang naik membuih sama ada dimasukkan kepala susu atau tidak. 

ii. Air anggur yang dimasak apabila berkurangan kadarnya tidak melebihi dua pertiga kadar asal dan ia menjadi bahan yang memabukkan. 

iii. Air tamar dan anggur kering yang ditakung apabila ia naik membuih sama ada dimasukkan kepala susu ke dalamnya atau tidak. 

        Lantaran itu perkataan khamr menjadi istilah khusus di kalangan mereka dan akibatnya cecair lain selain dari tiga jenis tersebut tidak mereka menamakannya dengan khamr, malah kadang-kadang mereka menamakannya dengan muskir atau sakar iaitu yang memabukkan atau dipanggil juga sebagai nabidh. Perbezaan nama sebegini yang berdasarkan kepada bahan asal bagi sesuatu cecair yang memabukkan itu mempunyai implikasi yang besar terhadap pembalasan ke atas pesalah yang meminumnya. 

        Bagi ulama’ lain, perkataan khamr ialah kata nama yang diletakkan pada minuman yang memabukkan dan ia bukanlah satu-satunya nama yang khusus. Minuman-minuman itu juga boleh dipanggil muskir atau nabidh kalaupun tidak dengan panggilan khamr. 

        Sebagai kesimpulannya, dapatlah disimpulkan bahawa ungkapan ‘shrub’ itu mempunyai dua pengertian iaitu ulama mazhab Hanafi mengatakan ia bermaksud ‘shrub al-khamr’ iaitu minum arak khamr, tetapi ulama’ daripada mazhab-mazhab yang lain mengatakan ia bermaksud minum arak secara umumnya iaitu meminum minuman yang memabukkan sama ada ia dinamakan khamr atau lainnya. 

        Pada masa kini, minuman yang memabukkan biasanya adalah dari jenis minuman beralkohol seperti ‘wain’ dan ‘brandi’ yang dibuat daripada perahan anggur dan daripada jus epal pula dapat dibuat minuman ‘cider’. Di Amerika dan Kanada, ‘cider’ atau ‘sweet cider’ adalah istilah untuk jus epal yang tidak difermentasikan, sedangkan jus epal yang difermetasikan disebut ‘hard cider’ manakala di United Kingdom istilah ‘cider’ selalu digunakan untuk minuman beralkohol. Tetapi di Australia, istilah ‘cider’ digunakan untuk produk beralkohol. Hasil ‘cider’ dengan proses pembekuan menghasilkan produk yang dinamakan ‘applejack’. Arak (bir) secara umumnya dibuat daripada barli. Tetapi terdapat juga arak yang dibuat daripada campuran pelbagai jenis biji-bijian. Minuman beralkohol yang dibuat daripada campuran beberapa jenis bijian dikenali dengan nama ‘wiski’. Jenis ‘wiski’ seperti scoth, rye dan bourbon digunakan dengan tambahan bijian adalah barli dan kadangkala dengan oat. 

        Hakikatnya, pengharaman arak bukan dilihat dari sudut pembuatannya daripada bahan apa sebaliknya dilihat dari sudut kesan kepada peminumnya. Terlalu banyak keburukan dan kemudaratan arak berbanding dengan kebaikannya kepada manusia. Antaranya ialah arak boleh merosakkan akal fikiran dan kesihatan manusia serta boleh merosakkan akhlak dan akidah seseorang. Dengan meminum arak juga ia boleh memalingkan manusia daripada mengingati Allah SWT dan melalaikan daripada mengerjakan sembahyang. Seterusnya membawa manusia hampir kepada kemurkaan Allah SWT. Kesan daripada meminum arak juga menyebabkan timbulnya permusuhan dan kebencian di antara manusia serta memporakperandakan rumahtangga, keluarga, masyarakat dan negara. Arak juga menjadi penyebab kepada berlakunya zina dan sumbang mahram yang semakin berleluasa dalam masyarakat pada hari ini. Tidak mustahil juga sekiranya arak boleh membawa seseorang itu melakukan perbuatan yang kejam dan terkutuk seperti pembunuhan dan sebagainya yang dilaknat oleh Allah SWT. 

        Oleh itu, pengharaman arak tidak hanya terbatas kepada perbuatan meminumnya sahaja, malah pelbagai perkara yang membabitkan arak juga adalah dilarang. Ini termasuklah memproses arak, membeli atau menjual arak meskipun usaha itu boleh memberi keuntungan yang lumayan. Rasulullah SAW melaknat 10 golongan yang terbabit dengan urusan penghasilan, penjualan, penghantaran, pembelian dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan arak sebagaimana sabda baginda SAW:

Maksudnya: “Allah telah melaknat minuman arak, peminumnya, penuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya (sama ada untuk dirinya atau orang lain), orang yang meminta ia diperah (sama ada untuk dirinya atau orang lain), pembawanya dan orang diminta ia dibawa kepadanya.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

        Berdasarkan hadis ini, jelas dinyatakan bahawa orang-orang Islam yang menjual arak termasuk salah satu golongan yang mendapat laknat daripada Allah 12 SWT sekalipun pembelinya bukan daripada orang Islam. Minuman beralkohol sudah terbukti dan memang jelas termasuk dalam kategori yang haram untuk diminum. Segala benda yang memabukkan adalah haram, ia bukan sahaja memabukkan malah boleh membawa kepada kematian sesiapa sahaja yang meminumnya. 

        Ini terbukti daripada penyelidikan yang telah dijalankan mendapati pada kandungan 0.05-0.15 peratus alkohol dalam darah, peminum akan mengalami kehilangan keseimbangan akal. Manakala pada kandungan 0.15-0.20 peratus, etanol akan menyebabkan keracunan. Seterusnya apabila kandungan alkohol semakin meningkat kepada 0.30-0.40 peratus, peminum boleh hilang kesedaran diri dan pada kandungan yang lebih tinggi lagi iaitu 0.50 peratus boleh menyebabkan kepada kematian kepada peminumnya. 

        Disebabkan perbuatan minum arak itu adalah dari perkara yang amat keji maka Rasulullah SAW telah menghukum ke atas peminum arak dengan empat puluh kali sebat sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak. Ditegaskan dalam hadis baginda SAW yang lain: 

Maksudnya : “Sesiapa yang meminum arak, maka kamu sebatlah dia.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad) 

        Menurut Dr. Mat Saad Abdul Rahman(1993), tidak ada nas Al-Quran yang menjelaskan hukuman jenayah arak. Begitu juga Rasulullah s.a.w tidak menetapkan kadar sebatan yang sebenar. Ada kalanya baginda SAW menyebat dengan bilangan yang sedikit dan kadang-kadang pula baginda menyebatnya dengan bilangan sebat yang banyak. Walau bagaimanapun, maksimum sebatan baginda adalah tidak melebihi empat puluh kali sebatan.

        Oleh itu, ulama’ mazhab Syafi’e dan satu riwayat yang lain kepada pendapat Imam Ahmad berpendapat bahawa hukuman sebat ke atas peminum arak adalah sebanyak empat puluh kali sebatan sahaja. Mereka berhujah berpandukan tindakan ‘Ali terhadap Al-Walid bin ‘Aqabah yang telah menyebatnya sebanyak empat puluh 13 kali sebatan dan katanya: “Nabi telah menyebat sebanyak empat puluh kali, Abu Bakar telah menyebat sebanyak empat puluh kali, ‘Umar telah menyebat sebanyak lapan puluh kali, tiap satunya adalah sunnah dan ini (bilangan empat puluh kali) adalah yang saya suka. Hal ini bermakna sebatan yang mengikut Rasulullah s.a.w adalah sebanyak empat puluh kali. Manakala yang selebihnya itu seperti yang dilakukan oleh ‘Umar dianggap sebagai sebat takzir yang harus dilakukan oleh imam atau pemerintah.” 

No comments:

Post a Comment

PENGENALAN

  NAMA:MUHAMMAD HARITHSS BIN SHAHRIL NO MATRIK: 04DEE21F1044 NAMA:ADLI HAQIMI BIN HANIZAN NO MATRIK: 04DEE21F1026 NAMA:HAIKAL AIZAT BIN HASS...